
Apabila Formula 1 kembali ke Sepang pada Oktober ini, keterujaan terhadap kelajuan dan prestasi tinggi sekali lagi akan menjadi tumpuan utama. Walaupun jantung yang berdebar-debar boleh menjadi sebahagian daripada keterujaan tersebut, jantung kita juga boleh berdegup lebih laju apabila kita berasa teruja. Namun, bagaimana jika sebenarnya terdapat masalah pada jantung yang tidak dapat dilihat, walaupun degupan jantung anda kelihatan normal?
Palpitasi jantung (Jantung berdebar) — iaitu apabila anda merasakan jantung berdegup lebih laju atau lebih kuat daripada biasa, boleh berlaku atas pelbagai sebab dan tidak semestinya bermakna anda menghidap penyakit jantung.
Pada masa sama, degupan jantung yang normal tidak semestinya bermakna semuanya sihat. Sebagai contoh, Penyakit Arteri Koronari (Coronary Artery Disease, CAD) boleh berlaku secara perlahan-lahan dan tanpa disedari apabila plak mula terkumpul di dalam salur darah yang membekalkan darah ke jantung.
Sempena Hari Jantung Sedunia, Dr Mohamed Nazrul bin Mohamed Nazeeb, Pakar Perunding Kardiologi di Subang Jaya Medical Centre (SJMC), menerangkan bagaimana CAD boleh treberkembang secara senyap, bagaimana doktor menilai dan merawat arteri koronari yang menyempit, serta bagaimana teknologi baharu seperti Belon Bersalut Ubat (Drug-Coated Balloon, DCB) memperluaskan pilihan rawatan invasif minimum untuk pesakit yang sesuai.
APABILA JANTUNG YANG BERDEBAR MENYEMBUNYIKAN MASALAH YANG SENYAP
Palpitasi jantung boleh berlaku sebagai tindak balas terhadap senaman, tekanan, keterujaan dan faktor-faktor lain.
Walau bagaimanapun, jika palpitasi yang berterusan atau luar biasa berlaku anda perlu mendapatkan doktor, terutamanya jika disertai dengan:
- Ketidakselesaan di dada
- Sesak nafas
- Pening
- Pengsan
Lebih penting lagi, ketiadaan simptom tidak semestinya bermakna jantung dan salur darah jantung berada dalam keadaan sihat. CAD berlaku apabila plak terkumpul secara beransur-ansur di dalam arteri koronari. Plak tersebut terdiri terutamanya daripada kolesterol, kalsium, sel-sel radang dan bahan-bahan lain dalam aliran darah. Apabila plak semakin terkumpul, arteri boleh menjadi sempit, sekali gus mengehadkan aliran darah dan oksigen ke otot jantung. “Penyakit arteri koronari boleh berkembang tanpa tanda atau simptom yang jelas, sebab itu ia mungkin tidak dikesan sehingga berlaku komplikasi yang lebih serius. Oleh itu, memahami faktor risiko anda dan mendapatkan penilaian perubatan yang sewajarnya apabila diperlukan adalah penting,” kata Dr Nazrul. Faktor risiko termasuk:
- Kolesterol tinggi
- Kencing Manis (Diabetes)
- Tekanan darah tinggi
- Merokok
- Obesiti
- Sejarah keluarga yang menghidap penyakit kardiovaskular pramatang
Skala masalah ini di Malaysia menunjukkan betapa pentingnya kesedaran mengenainya.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, penyakit jantung iskemik kekal sebagai punca utama kematian yang disahkan secara perubatan pada tahun 2024, dengan 17,421 kematian, atau 13.0 peratus daripada keseluruhan kematian yang disahkan secara perubatan.
“Memahami faktor risiko anda dan mendapatkan penilaian perubatan yang sewajarnya apabila diperlukan adalah penting,” kata Dr Nazrul
BAGAIMANA SAYA BOLEH “SERVIS” JANTUNG SAYA?
Kesesuaian setiap ujian bergantung kepada simptom, profil risiko, usia dan keadaan klinikal keseluruhan seseorang. Oleh itu, pendekatan yang diperibadikan adalah penting bagi memastikan diagnosis yang tepat dan rawatan yang bersesuaian.
Ujian diagnostik yang digunakan untuk mengesan penyakit arteri koronari secara amnya boleh dikategorikan kepada ujian tidak invasif dan invasif.
Ujian Tidak Invasif
- Penilaian skor kalsium arteri koronari
- Angiografi CT koronari (CCTA)
- Ujian tekanan senaman
- Pengimejan perfusi miokardium
- Pengimejan resonans magnetik (MRI) jantung
Ujian Invasif
- Angiografi koronari/angioplasti
SALUR DARAH TERSUMBAT TIDAK SEMESTINYA MEMERLUKAN STENT
Penemuan arteri koronari yang sempit atau tersumbat tidak semestinya bermakna stent diperlukan. Matlamat utama rawatan untuk penyakit arteri koronari adalah mudah: memulihkan aliran darah yang mencukupi ke otot jantung.
“Pendekatan rawatan bergantung kepada lokasi dan tahap keterukan sumbatan, saiz dan keadaan arteri yang terjejas, ciri-ciri plak, bilangan sumbatan, fungsi jantung serta keadaan kesihatan keseluruhan pesakit,” kata Dr Nazrul.
Bergantung kepada kerumitan penyakit, rawatan mungkin merangkumi ubat-ubatan dan pengurusan gaya hidup, pembedahan cantuman pintasan arteri koronari (coronary artery bypass grafting, CABG) atau intervensi koronari perkutaneus (percutaneous coronary intervention, PCI), yang biasanya dikenali sebagai angioplasti koronari.
BOLEHKAH BELON BERSALUT UBAT MENJADI SATU LAGI PILIHAN?
Salah satu teknologi yang digunakan dalam intervensi koronari terpilih ialah Belon Bersalut Ubat (Drug-Coated Balloon, DCB). Tidak seperti stent konvensional yang kekal di dalam arteri untuk memberikan sokongan struktur, DCB ialah belon khusus yang disalut dengan ubat.
Ketika angioplasti, belon tersebut diletakkan pada bahagian arteri yang menyempit dan dikembangkan untuk tempoh yang singkat, sekali gus membolehkan ubat disalurkan terus ke dinding salur darah. Belon tersebut kemudiannya dikeluarkan, tanpa meninggalkan sebarang implan kekal.
“Belon Bersalut Ubat membolehkan ubat disalurkan terus ke dinding salur darah tanpa meninggalkan implan kekal. Ubat tersebut membantu mengurangkan risiko arteri yang dirawat menjadi sempit semula dan, dalam keadaan tertentu, membantu salur darah menyesuaikan diri dan pulih dengan lebih baik,” jelas Dr Nazrul.
Walau bagaimanapun, DCB tidak sesuai untuk setiap pesakit atau setiap jenis penyempitan arteri koronari. Keputusan penggunaannya bergantung kepada faktor seperti lokasi dan ciri-ciri sumbatan, saiz salur darah yang terjejas serta keadaan keseluruhan pesakit.
PASTIKAN JANTUNG KEKAL DALAM PERLUMBAAN
Walaupun bidang perubatan kardiovaskular telah mengalami banyak kemajuan, pencegahan masih merupakan langkah yang paling berkesan.
Mengekalkan gaya hidup yang sihat, mengawal tekanan darah, kolesterol dan paras gula dalam darah, bersenam secara berkala, mengelakkan merokok serta menjalani penilaian perubatan yang bersesuaian boleh membantu mengurangkan risiko kardiovaskular.
Pada Hari Jantung Sedunia ini, memahami risiko penyakit kardiovaskular yang anda hadapi merupakan langkah penting untuk menjaga kesihatan jantung. Sama seperti kelajuan sahaja tidak menggambarkan keseluruhan keadaan di litar F1, degupan jantung yang normal juga tidak semestinya menunjukkan apa yang sedang berlaku di sebalik tabir.
Sumber:
