Keradangan Serius Pada Otak: Bahaya Ensefalitis Menurut Pakar Neurologi Malaysia 


Secara global, ensefalitis atau radang otak mencatatkan sekitar 1,444,720 kes dan hampir 90,000 kematian pada tahun 2019. Di Amerika Syarikat, penyakit ini menyerang kira-kira 10 hingga 15 individu bagi setiap 100,000 orang setiap tahun menurut data dari Johns Hopkins Medicine.

Lebih 250,000 pesakit telah didiagnosis dengan ensefalitis dalam tempoh sedekad lalu. Ini menunjukkan bahawa walaupun penyakit ini jarang berlaku, jangkitan otak tidak boleh dipandang ringan.

Untuk penjelasan lebih lanjut tentang penyakit radang otak, SinarPlus menemubual Pakar Neurologi Malaysia, Dr Yong Fee Mann dari Subang Jaya Medical Centre.

Fungsi Otak dan Ancaman Radang

Dr Fee Mann menjelaskan bahawa otak adalah pusat kawalan utama tubuh manusia. Setiap gerakan, pertuturan dan aktiviti kognitif dikendalikan oleh organ ini.

Jika berlaku kerosakan atau keradangan pada otak, seluruh fungsi tubuh boleh terganggu dengan serius.

“Ensefalitis ialah keadaan serius yang berlaku apabila tisu otak menjadi radang. Ia boleh berpunca daripada jangkitan virus, bakteria atau kulat. Selain itu, penyakit autoimun juga boleh mencetuskan ensefalitis,” kata beliau.

Antara contoh virus yang boleh menyebabkan keradangan otak termasuk virus nipah, herpes simplex dan herpes zoster yang dikenali sebagai kayap.

Virus, Penyakit Tropika dan Faktor Autoimun 

Selain virus seperti Japanese encephalitis dan measles, penyakit tropika seperti denggi, malaria serta Covid 19 juga berpotensi mencetuskan radang otak walaupun tidak begitu ketara.

Mikroorganisma seperti protozoa yang terdapat dalam air sungai turut boleh menjadi punca. Dalam kes tertentu, penyakit ini berpunca daripada tindak balas sistem imun yang keliru dan menyerang tisu otak sendiri, dikenali sebagai ensefalitis autoimun.

Siapa Paling Berisiko 

Menurut Dr Fee Mann, radang otak pada bayi dan kanak-kanak lebih mudah berlaku kerana sistem imun mereka belum matang sepenuhnya.

Namun, orang dewasa juga boleh dijangkiti, terutamanya jika mereka mempunyai masalah imuniti atau tinggal di kawasan yang terdedah kepada jangkitan.

Gaya Hidup dan Simptom Ensefalitis

Apabila ditanya sama ada gaya hidup atau tekanan emosi menjadi punca, pakar tersebut menjelaskan bahawa:

“Saya tidak fikir gaya hidup atau masalah mental seperti kemurungan memberi kesan secara langsung. Namun simptom ensefalitis kadangkala menyerupai gangguan emosi atau perubahan tingkah laku.”

Simptom ensefalitis yang biasa termasuk:

  • Demam dan sakit kepala
  • Perubahan sikap atau kekeliruan
  • Masalah pertuturan atau pendengaran
  • Kehilangan deria rasa atau sentuhan
  • Kelemahan otot dan kelumpuhan separa
  • Sawan dan kehilangan daya ingatan

Ensefalitis autoimun biasanya berkembang secara perlahan dan pesakit jarang mengalami demam. Sebaliknya, gejala seperti tingkah laku pelik atau sukar tidur lebih ketara.

Cara Penyebaran Jangkitan Otak

Menurut National Institute of Neurological Disorders and Stroke, ensefalitis boleh berjangkit melalui:

  • Air liur dan rembesan pernafasan
  • Batuk atau bersin
  • Berkongsi peralatan makan, berus gigi atau barangan peribadi seperti gincu dan rokok

Gejala Radang Otak Pada Bayi

Antara tanda awal yang perlu diperhatikan:

  • Demam berpanjangan
  • Lesu dan tidak mahu menyusu
  • Muntah atau menangis berterusan
  • Kekakuan tubuh
  • Terdapat bonjolan pada bahagian atas kepala

Harapan Untuk Pesakit Ensefalitis

Walaupun penyakit ini boleh membawa maut, ramai pesakit ensefalitis boleh sembuh jika mendapat rawatan awal daripada pakar neurologi.

Dr Fee Mann berkongsi pengalaman merawat seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang kerap mengalami sawan dan disahkan menghidap ensefalitis autoimun. Selepas beberapa tahun menjalani rawatan dan pengambilan ubat secara berterusan, pesakit kini sihat dan sudah kembali ke sekolah.

Temui Pakar Neurologi Kami Hari Ini

Jika anda atau ahli keluarga menunjukkan sebarang gejala yang menyerupai tanda radang otak, segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan. Rawatan awal boleh menyelamatkan nyawa dan mengelakkan komplikasi jangka panjang. Hubungi kami untuk membuat janji temu dengan pakar neurologi berpengalaman.