Wanita perlu berani lawan kanser payudara | SJMC

Share in

Dr Daphne Anthonysamy

SUBANG JAYA - Dibayangi perasaan takut dan kurang pengetahuan menjadi antara faktor utama kebanyakan wanita di Malaysia tidak menjalani ujian saringan atau pemeriksaan awal bagi mengesan kanser payudara.

Pakar Bedah Payudara dan Endokrin Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr Daphne Anthonysamy berkata, pengesanan awal sangat penting dan dapat meningkatkan peluang untuk rawatan yang berjaya terutama jika kanser ditemui di peringkat awal.

Menurutnya, dengan kemajuan teknologi mamogram yang semakin maju dan selesa, pesakit tidak berdepan dengan kesakitan atau kesan radiasi keterluan seperti yang ‘dimomokkan’.

“Ramai wanita masih takut untuk menjalani ujian mamogram atau pemeriksaan susulan kerana mendengar cerita ia sakit dan mengalami kesan radiasi apabila melakukan ujian tersebut.

“Apa yang diberitahu itu tidak benar sama sekali kerana kebanyakan hospital di negara ini menggunakan ujian mamogram tiga dimensi (3D) iaitu kaedah pengimejan moden yang menggunakan sinar-X untuk mengambil banyak imej payudara dari pelbagai sudut.

“Jadi, ujian mamogram ini radiasinya sangat minimum dan ketepatan ujian juga sangat tinggi,” katanya kepada Sinar Harian.

Sehubungan itu katanya,wanita perlu berani berdepan kanser dengan membuat ujian saringan dan pemeriksaan kesihatan awal untuk mengelakkan sebarang risiko.

Mengulas lanjut, Dr Daphne yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan kira-kira 15 tahun berkata, tanggapan bahawa seseorang tidak perlu bimbang jika tidak merasa sakit walaupun terdapat ketulan, masih dipegang masyarakat, selain itu, ketiadaan sejarah keluarga juga menjadi antara punca penyakit itu lewat dikesan.

Tambahnya, statistik menunjukkan 80 peratus daripada pesakit yang diagnosis mengalami kanser payudara terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai sejarah keluarga mempunyai penyakit berkenaan.

“Ramai yang rasa ada ketulan pada payudara tapi disebabkan perkara itu tidak mengganggu atau rasa tidak sakit mereka tidak membuat pemeriksaan atau mendapatkan nasihat daripada pakar. Masyarakat perlu diberi kefahaman bahawa biasanya kanser payudara tidak sakit,” katanya yang telah berkhidmat kira-kira lima tahun di SJMC.

Dr Daphne menasihatkan wanita di luar sana mengenai ujian saringan dan pemeriksaan kesihatan awal untuk mengelakkan sebarang risiko.

Tahap kesedaran untuk jalani pemeriksaan payudara meningkat

Ditanya mengenai tahap kesedaran wanita di Malaysia terhadap kepentingan pemeriksaan payudara secara berkala, pakar lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, ia jauh lebih baik berbanding 10 tahun lalu.

Katanya, sebelum ini kebanyakan pesakit yang datang untuk menjalani rawatan terdiri daripada mereka berada dalam keadaan teruk iaitu di tahap tiga atau empat.

“Dengan pelbagai usaha yang dilakukan kerajaan termasuk swasta seperti SJMC sendiri, kita dapat lihat ia berupaya meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

“Kalau kita lihat di SJMC sendiri kebanyakan pesakit yang datang terdiri daripada mereka yang berada di tahap satu atau dua. Keadaan ini berlaku disebabkan mereka menjalani ujian saringan dan pemeriksaan awal hasil kempen atau aktiviti kesedaran yang dilaksanakan,” katanya.

Ujarnya, bersempena program Bulan Kesedaran Kanser Payudara atau lebih dikenali dengan Pinktober yang disambut sepanjang bulan ini, SJMC turut melaksanakan pelbagai promosi termasuk menawarkan potongan harga istimewa untuk ujian saringan dan pemeriksaan kanser payudara dengan pelbagai pakej berpatutan.

Inisiatif itu katanya, antara usaha komuniti atau sokongan khas SJMC sempena Pinktober bagi memperkasa pesakit dan keluarga mereka.

Peluang sembuh tinggi jika jalani rawatan awal

Dalam pada itu, Dr Daphne menambah, tanggapan bahawa kanser tiada ubat dan akan berakhir dengan kematian semata-mata juga perlu diubah.

Katanya, aspek paling penting yang perlu diberi keutamaan sekiranya ingin sembuh ialah dengan cara membuat ujian saringan dan pemeriksaan kesihatan, selain disusuli dengan rawatan bersesuaian.

“Masyarakat perlu sedar bahawa kanser bukan berakhir dengan kematian kerana sekarang ini sudah banyak rawatan ditawarkan.

“Sekarang ini banyak kajian dilakukan untuk kanser berbanding dahulu dan dari segi rawatan sendiri pun banyak perubahan. Jadi, tidak hairan pesakit di tahap empat pun masih boleh diubati dan menjalani kehidupan normal dengan menjalani rawatan mengikut kesesuaian dengan masing-masing,” katanya.

Beliau menambah, dengan mengambil contoh kemajuan teknologi perubatan di SJMC juga, ia banyak membantu pesakit melalui rawatan yang lebih berkesan dan kurang invasif, selain dibantu pasukan perubatan terbaik.

Golongan wanita berusia 40 tahun ke atas dinasihatkan untuk membuat ujian pengesanan dan pemeriksaan payudara sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun untuk mengelakkan sebarang risiko.

Semakin ramai wanita usia 40 tahun hidap kanser payudara

Mengulas lanjut, Dr Daphne berkata, golongan wanita berusia 40 tahun ke atas dinasihatkan untuk membuat ujian pengesanan dan pemeriksaan payudara sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun untuk mengelakkan sebarang risiko.

Ini kerana katanya, data menunjukkan lebih ramai wanita yang berusia 40 tahun di negara ini kesan mendapat kanser payudara, walaupun tidak mempunyai sejarah keluarga.

“Saya nasihatkan semua wanita yang sudah mencapai usia 40 tahun membuat saringan kesihatan secara berkala memandangkan setiap seorang daripada 20 wanita di Malaysia berisiko untuk mendapat kanser payudara yang menjadi antara kanser pembunuh nombor satu di dunia.

“Umur paling sesuai untuk menjalani ujian mamogram pada usia 40 tahun. 10 atau15 tahun lalu, golongan wanita diagnosis kanser payudara antara usia 50 hingga 60 tahun tetapi sejak akhir akhir ini ia telah turun kepada wanita berusia 40 tahun. Ia mungkin disebabkan gaya hidup dan pemakanan kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau dalam masa sama turut menasihatkan wanita supaya tidak terjebak dengan prosedur membesarkan payudara menerusi suntikan filler yang semakin popular ketika ini.

Katanya, prosedur berkenaan akan menyukarkan sebarang usaha untuk mengesan kewujudan ketulan sel kanser pada payudara masing-masing.

“Masalah sekarang bukan suntikan filler yang menyebabkan kanser payudara tetapi kalau hendak buat ultrasound dan mamogram tidak akan nampak apa-apa melainkan pesakit perlu membuat pengimejan resonans magnetik (MRI) yang memerlukan kos tinggi.

“Jadi, nasihat saya kepada semua wanita di negara ini jauhi sebarang prosedur membesarkan payudara menerusi suntikan filler kerana ia akan kekal selama-lamanya hingga menyukarkan proses mengesan kanser payudara dan sekiranya ingin juga pilihlah buat rawatan rekonstruktif, implan silikon lebih selamat,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut menasihatkan masyarakat terutama golongan wanita untuk sentiasa meletakkan kesihatan sebagai keutamaan kerana ia merupakan asas ‘kekayaan’ dalam kehidupan.

Ujarnya, tiada makna kehidupan seseorang itu jika tidak mempunyai tahap kesihatan yang baik dan atas dasar itu masyarakat jangan sesekali takut untuk bertemu doktor bagi menjalani pemeriksaan kesihatan termasuklah membuat pemeriksaan payudara sendiri.

Source: Sinar Harian