Sempena Hari Jururawat Sedunia: Jururawat tunjang utama bidang penjagaan kesihatan, rawatan

Tugas babitkan aspek fizikal, sokongan emosi dan mental kepada pesakit

Jururawat kerjaya mulia dan penuh pengorbanan kerana tugas mereka tunjang utama dalam memberikan penjagaan serta rawatan kepada pesakit.

Tugas jururawat bukan sahaja membabitkan aspek fizikal, malah merangkumi sokongan emosi dan mental kepada pesakit serta keluarga mereka.

Jururawat Kanan Pusat Jagaan Kemoterapi Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Tillai Kumari Muthu Krishnan, 41, berkata tugas sebagai jururawat memerlukan individu itu sentiasa positif dalam tugasan dan tidak membawa masalah bersama.

Katanya, ini kerana tugas mereka berhadapan dengan nyawa manusia dan penting memberi tumpuan sepenuhnya dalam tugasan harian.

“Jadi saya berharap ramai golongan muda terutama lelaki menceburi bidang ini kerana jururawat tugas mulia, dapat membantu ramai orang.

“Malah ketika ini, sudah banyak teknologi moden yang memudahkan usaha membantu pesakit,” katanya berpengalaman 17 tahun sebagai jururawat dan terbabit dalam pelbagai bidang.

Ibu kepada dua anak ini berkata, dia berminat menjadi jururawat selepas neneknya ditimpa sakit.

“Ketika berusia 10 tahun, nenek sakit dan saya melihat ibu bapa bertungkus lumus menjaga nenek sebaiknya walaupun tanpa ilmu mendalam.

“Sejak itu saya menanam azam menjadi jururawat dan berpendapat, setiap keluarga perlu mempunyai sekurang-kurangnya seorang jururawat bagi memudahkan urusan,” katanya.

Dia turut menjadikan kakak iparnya sebagai inspirasi kerana mampu membuka dua rumah penjagaan di Ipoh, Perak. 

“Bukan mudah menguruskan rumah penjagaan, tetapi dia sentiasa tenang kerana dia begitu minat dengan dunia kejururawatan. Saya kagum dan berharap dapat menjadi sepertinya suatu hari nanti,” katanya.

Tillai Kumari Muthu Krishnan

Kerjaya disayangi

Rakannya, Sakinah Abdul Mutalif, 37, yang kini bertugas sebagai Jururawat Kanan di Wad Pediatrik SJMC, berkata bidang kejururawatan bukanlah cita-cita utamanya sebelum ini.

Berasal dari Seri Kembangan, Selangor, Sakinah berkata, namun apabila menyambung pengajian di dalam bidang itu, minat mula timbul dan kini sudah 15 tahun kekal dalam kerjaya itu.

“Tidak sangka bidang yang tidak pernah terlintas dalam fikiran sebelum ini, kini menjadi kerjaya disayangi.

“Bidang ini terutama membabitkan kanak-kanak amat mencabar kerana bukan sahaja berhadapan dengan pesakit, tetapi juga waris pesakit terutama ibu bapa, jadi mental kena kuat setiap hari,” katanya.

Dia yang sudah 10 tahun mendirikan rumah tangga berkata, suami dan ibu bapanya menjadi tulang belakang kepadanya dalam memberi sokongan dan kata-kata semangat.

Sakinah juga bersyukur apabila seorang adiknya turut mengikut jejak langkah menjadi jururawat.

“Pada mulanya dia juga tidak berminat, tetapi apabila melihat saya berjaya dalam kerjaya ini, dia mampu mengharunginya dengan baik,” katanya.

Mengenai pengalaman berada di wad kanak-kanak, Sakinah berkata, dia paling gembira apabila ada pesakit kanak-kanak terutama penghidap kanser sembuh sepenuhnya.

“Sebagai jururawat kita perlu profesional apabila bekerja tetapi ada juga kejadian  membuatkan air mata saya gugur,” katanya.

Sakinah Abdul Mutalif

Sudah ramai lelaki ceburi bidang kejururawatan

Kerjaya jururawat sering dikaitkan dengan wanita, tetapi kini sudah ramai lelaki menceburinya bidang ini. 

Khidmat jururawat lelaki diperlukan di mana-mana pusat perubatan kerana kekuatan fizikal mereka.

Bagi Steven Lim, 30, sudah sembilan tahun dia bertugas sebagai jururawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).

Dia berminat menjadi jururawat selepas mengetahui neneknya adalah bidan di rumah panjang dan semua penduduk kampung mengenalinya.

Steven yang berasal dari Miri, Sarawak, kemudiannya mengikuti pengajian di sebuah kolej kejururawatan di Nilai, Negeri Sembilan, seterusnya sebuah lagi kolej perubatan di ibu negara bagi mencapai cita-citanya itu.

“Syukur keluarga tidak menghalang cita-cita saya kerana mereka tahu niat saya yang mahu menjadi seperti nenek, membantu orang,” katanya kepada BH.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, setakat ini di dalam keluarga hanya dia yang menjadi jururawat.

Katanya, walaupun tugasan jururawat lelaki nampak seperti mudah, hakikatnya masih memerlukan kekuatan mental yang tinggi terutama sepertinya, bertugas setiap hari di ICU.

“Saya perlu lebih cepat daripada biasa kerana wad ini membabitkan nyawa orang selain perlu juga mengenali setiap jenis ubat untuk rawatan segera,” katanya.

Dia yang masih bujang berkata, antara pengalaman tidak dapat dilupakan adalah sepanjang pandemik COVID-19.

Katanya, terlalu banyak insiden air mata berlaku dan ia masih melekat di dalam hatinya.

“Ketika itu memang kelam kabut dengan perlu bekerja lebih masa, menjaga pesakit dan pada masa sama menjaga diri sendiri daripada turut dijangkiti.

“Namun paling tidak dapat dilupakan, detik bersama pesakit COVID-19 yang menghembuskan nafas terakhir di hadapan mata berseorangan tanpa keluarga di sisi,” katanya.

Steven Lim

Source: Berita Harian