
RAMADAN bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, tetapi peluang membersihkan diri, mendisiplinkan nafsu serta memperbaiki gaya hidup.
Namun bagi pesakit jantung dan darah tinggi, kehadiran bulan mulia ini sering disertai kebimbangan.
Perunding Kardiologi dan Kardiologi Intervensi Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr Mohamed Nazrul Mohamed Nazeeb, berkata dari sudut kesihatan, puasa yang dilakukan dengan cara betul sebenarnya memberi manfaat kepada tubuh.
"Apabila kita berpuasa lebih 12 jam, badan akan menggunakan simpanan gula sebagai sumber tenaga. Sebab itu ada yang rasa lebih fokus, tenang dan bertenaga sepanjang Ramadan," katanya kepada BH.
Katanya, selain membantu menurunkan berat badan, puasa juga didapati meningkatkan sensitiviti insulin dan membantu kawalan gula dalam darah.
"Bagi sesetengah individu, tekanan darah turut menjadi lebih stabil," katanya.
Tidak semua pesakit sesuai berpuasa
Bagaimanapun, tegasnya keputusan untuk berpuasa bagi pesakit jantung perlu dinilai secara individu, terutama menjelang Ramadan.
"Penyakit jantung ini luas. Ada yang membabitkan saluran darah tersumbat, ada kegagalan jantung, masalah injap atau gangguan rentak jantung. Setiap keadaan berbeza," jelasnya.
Katanya, pesakit yang fungsi jantungnya sangat lemah (kurang 35 peratus), baru keluar hospital dalam tempoh enam bulan atau mengalami simptom teruk seperti sesak nafas walaupun ketika berehat, lazimnya tidak digalakkan berpuasa.
"Jika mereka tetap ingin berpuasa kerana tuntutan Ramadan, perlu pemantauan rapat dan nasihat doktor. Jangan buat keputusan sendiri," katanya.
Sebaliknya, pesakit yang pernah menjalani prosedur seperti pemasangan stent atau pembedahan pintasan jantung dan kini stabil tanpa simptom ketara, kebiasaannya boleh berpuasa dengan pelarasan ubat serta pemantauan berkala.
Dr Mohamed Nazrul berkata, pesakit dinasihatkan untuk berjumpa doktor beberapa minggu sebelum Ramadan bagi menilai keadaan terkini, termasuk keputusan ujian darah dan fungsi jantung.
"Ramai pesakit datang beberapa hari sebelum puasa untuk laras dos ubat. Ini penting supaya jadual ubat boleh disesuaikan antara waktu berbuka dan sahur," katanya.
Bagi pesakit darah tinggi, jika tekanan darah terkawal dan ubat boleh diambil dua kali sehari iaitu pada waktu sahur dan berbuka, kebiasaannya tiada masalah.
Namun katanya, bagi mereka yang perlu mengambil ubat tiga kali sehari atau tekanan darah tidak stabil, risiko komplikasi seperti strok dan serangan jantung boleh meningkat jika dos tidak diambil dengan betul.
"Kalau terlepas dos sahur, jangan gandakan dos waktu berbuka. Teruskan dos biasa dan pantau tekanan darah. Jika bacaan terlalu tinggi atau ada simptom, perlu berbuka dan dapatkan rawatan," katanya.
"Selain membantu menurunkan berat badan, puasa juga didapati meningkatkan sensitiviti insulin dan membantu kawalan gula dalam darah," kata Dr Mohamed Nazrul.
Jaga air dan elektrolit
Cabaran utama pesakit jantung ketika Ramadan ialah dehidrasi.
Kebanyakan ubat jantung dan darah tinggi menyebabkan saluran darah mengembang. Jika badan kekurangan air, tekanan darah boleh turun mendadak sehingga menyebabkan pening dan pitam.
Selain itu, katanya ketidakseimbangan elektrolit seperti pottasium dan magnesium boleh mencetuskan gangguan rentak jantung.
"Pastikan minum air mencukupi antara berbuka dan sahur. Individu tanpa masalah jantung digalakkan sekurang-kurangnya dua liter sehari.
"Namun pesakit kegagalan jantung yang fungsi kurang 35 peratus biasanya dihadkan sekitar satu liter sehari, bergantung kepada nasihat doktor," katanya.
Beliau turut mengingatkan untuk tidak menjadikan Ramadan sebagai 'bulan balas dendam makan'.
"Kalau sahur berlebihan, berbuka pula dengan makanan manis, bergoreng dan diproses, kemudian makan lagi selepas tarawih, manfaat kesihatan puasa tidak akan diperoleh," katanya.
Katanya, pesakit disaran mengambil makanan seimbang ketika sahur iaitu sumber protein, serat dan karbohidrat kompleks supaya dapat memberi tenaga berpanjangan. Makanan tinggi gula dan berlemak perlu dihadkan.
Dari segi aktiviti fizikal, pesakit masih digalakkan bersenam ringan hingga sederhana, sebaiknya hampir waktu berbuka.
"Sekitar jam 5 atau 6 petang sesuai untuk aktiviti ringan. Jika rasa tidak sihat, jangan paksa diri," katanya.
Menurut Dr Mohamed Nazrul, dari sudut perubatan, pesakit perlu membatalkan puasa jika mengalami simptom serius seperti sakit dada, sesak nafas, pening melampau atau tekanan darah terlalu tinggi.
“Islam memberi rukhsah (keringanan) kepada yang sakit. Kesihatan perlu diutamakan supaya ibadah dapat dilakukan dengan lebih tenang dan selamat.
”Ramadan tetap boleh dilalui dengan penuh makna oleh pesakit jantung dan darah tinggi, asalkan mereka membuat persediaan awal, mematuhi nasihat doktor dan peka terhadap tanda amaran tubuh," katanya.
INFO:
Siapa pesakit jantung TIDAK digalakkan berpuasa:
Tidak semua pesakit sesuai berpuasa. Perlu penilaian doktor jika:
- Fungsi jantung sangat lemah (kurang 35 peratus).
- Baru keluar hospital dalam enam bulan.
- Ada sesak nafas walaupun ketika rehat.
- Mengalami simptom teruk atau tidak stabil.
Panduan pengambilan ubat darah tinggi:
- Jika ubat 2 kali sehari boleh ambil waktu sahur dan berbuka.
- Jika ubat 3 kali sehari perlu bincang dengan doktor.
- Jika tertinggal dos sahur: Jangan gandakan dos waktu berbuka. Teruskan dos biasa.
Pantau tekanan darah. Jika tekanan terlalu tinggi atau ada simptom berbuka dan dapatkan rawatan.
Source: Berita Harian
