Paru-Paru Boleh Bocor Kerana Rokok, Vape

Penyakit paru-paru bocor dijangka terus meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang berikutan semakin ramai dalam kalangan orang muda menghisap rokok dan vape.
Dikenali juga sebagai penyakit Pneumothoraks atau paru-paru runtuh, ia berlaku lebih kerap dalam kalangan lelaki iaitu 7.4 sehinga 18 untuk lelaki dan 1.2 sehingga 6 untuk perempuan berdasarkan kes baru dalam kalangan 100,000 masyarakat.
Pneumothoraks adalah kewujudan gas di ruang pleura yang boleh menyebabkan paru-paru kempis separuh atau keseluruhannya. Ruang pleura merujuk kepada ruang di antara paru-paru dan dada yang secara semulajadi hanya mempunyai 20 ml cecair untuk melicinkan perkembangan paru-paru.
Udara yang masuk ke dalam ruang pleura menolak bahagian luar paru-paru dan menyebabkan paru-paru ‘runtuh’ sepenuhnya atau sebahagian paru-paru saja. Ia seterusnya menyebabkan pesakit mengalami kesesakan nafas atau berdepan risiko maut.
Pakar Perunding Perubatan dan Perubatan Pernafasan, Subang Jaya Medical Centre, Dr. Shyamala Poosparajah berkata, Pneumothoraks berkaitan dengan vape jarang dilaporkan pada zaman dahulu tetapi beberapa kes muncul dalam lingkungan dua ke tiga tahun kebelakangan ini.
“Ini berkemungkinan besar berlaku kerana ramai orang yang merokok sudah beralih ke vape. Ini berasaskan keyakinan yang keliru di mana mereka salah faham yang vape lebih selamat daripada menghisap rokok. Vape menyebabkan inflamasi atau radang dalam paru-paru kerana kandungannya terdiri daripada nikotin, ganja ,perasa tiruan dan lain-lain.
“Mereka yang tidak merokok juga boleh terkesan dengan paru-paru bocor apabila tersedut asap vape penghisap vape berhampiran kerana kandungan asap vape boleh menular masuk ke ruang udara dan menyebabkan inflamasi paru-paru, “ katanya.
Bagaimanapun Dr.Shyamala berkata, bukan semua kes paru-paru bocor berbahaya sebaliknya hanya keadaan di mana pesakit tidak mempunyai akses ke hospital dan tidak mendapat rawatan segera boleh membawa maut kerana komplikasi seperti jantung terhenti.
Jenis-jenis Paru-paru Bocor
Penyakit paru-paru bocor boleh dibahagikan kepada empat jenis berdasarkan puncanya. Pneumothoraks spontan primer berlaku di mana paru-paru bocor akibat kebocoran ruang udara tanpa kewujudan penyakit paru-paru.
Dr. Shyamala berkata, jenis paru-paru bocor yang kedua pula adalah Pneumothoraks spontan sekunder di mana paru-paru bocor berkaitan dengan penyakit paru-paru.
“Penyakit seperti penyakit halangan pulmonari kronik (COPD), fibrosis cystic, barah paru-paru atau pneumonia boleh menyebabkan paru-paru bocor. Penyakit cystic paru-paru seperti lymphangioleiomyomatosis dan sindrom Birt-Hogg-Dube menyebabkan tisu paru-paru koyak dan menyebabkan kebocoran atau pneumothorax.
“Pneumothoraks traumatik pula iaitu yang ketiga berlaku apabila paru-paru bocor berlaku akibat kecederaan dada yang dialami kesan daripada kemalangan, serangan atau daya luaran.
“Jenis ke empat iaitu Pneumothoraks tegangan adalah keadaan serius di mana gas berkumpul di ruang pleura dan mewujudkan tekanan ke atas paru-paru dan jantung yang boleh membawa maut, “ katanya.

Pakar Perunding Perubatan dan Perubatan Pernafasan, Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Dr. Shyamala Poosparajah.
Gejala dan Rawatan
Terdapat beberapa gejala seseorang mengalami paru-paru bocor. Gejala utama pneumothoraks adalah sesak nafas dan kesakitan dada secara tiba-tiba. X-ray dada di klinik atau Jabatan
Kecemasan boleh memberi diagnosis dengan serta merta.
Matlamat rawatan untuk melegakan tekanan di dalam paru-paru bagi membolehkan ia mengembang dan matlamat kedua adalah mencegah ia daripada berulang. Rawatan juga bergantung kepada punca penyakit ini berlaku.
Sekiranya hanya bahagian kecil paru-paru terkesan, pemantauan boleh dilakukan dengan X-Ray dada sehingga udara berlebihan diserap sepenuhnya dan paru-paru kembali kembang.
“Pilihan rawatan termasuk pemerhatian menggunakan oksigen untuk mencepatkan penyerapan semula udara dan pengembangan paru-paru, aspirasi jarum atau penyisipan tiub dada.
“Tiub dada akan dimasukkan antara rusuk pesakit untuk mengeluarkan udara yang berlebihan dari paru-paru. Bagaimanapun,
Pneumothorak berkemungkinan boleh sembuh secara sendiri tetapi pembedahan mungkin diperlukan dalam kes-kes tertentu, “ katanya.
Pembedahan bertujuan membaikpulih punca berlaku pneumothoraks atau untuk mencegah penyakit berulang. Pembedahan dilakukan dengan potongan kecil menggunakan kamera fiber optik kecil dan alat pembedahan khas untuk menutup bahagian bocor.
Lelaki yang kurus dan tinggi lebih berisiko ketika remaja dan umur ke 20 an. Ini adalah kerana paru-paru mereka lebih tegang dan kewujudan ruang udara yang lebih nipis yang mudah bocor.
“Perokok aktif dan pasif juga turut berisiko tinggi kerana kandungan rokok yang menyebabkan inflamasi. Inflamasi boleh menipiskan ruang udara yang menyerupai belon pada X-ray dada dan ini memudahkan kebocoran, “ katanya.
Risiko lain selain tabiat merokok seperti genetik iaitu jenis pneumothorax tertentu yang berlaku dalam keluarga. Individu yang pernah mengalami paru-paru bocor juga berisiko tinggi mengalaminya sekali lagi.
Pencegahan pneumothoraks berulang bergantung kepada punca yang menyebabkannya pada pertama kali. Dalam kes pneumothoraks spontan primer, CT scan paru-paru boleh menunjukkan ruang udara nipis di paru-paru sebelah di mana pembedahan untuk menghiris ruang udara nipis boleh dijalankan sebelum kebocoran berlaku.
Terdapat pelbagai lagi komplikasi tetapi ia bergantung kepada saiz dan keterukan pneumothorax serta punca ia berlaku dan jenis rawatan yang diberikan. Kadangkala ia akan terus bocor sekiranya kebocoran tidak tertutup.
Pencegahan
Terdapat banyak amalan yang boleh dilakukan untuk mengekalkan paru-paru yang sihat. Di antaranya, berhenti merokok dan menghisap vape kerana ia adalah kaedah berkesan untuk mengelakkan pneumothoraks berulang.
“Amalan pernafasan yang dalam dapat membantu memperkuatkan otot pernafasan dan meningkatkan kapasiti paru-paru. Kita perlu memastikan kualiti udara di rumah bersih dan elakkan pendedahan kepada pencemaran udara di dalam dan di luar rumah.
“Terdapat vaksinasi khusus untuk melindungi daripada serangan penyakit pneumonia yang serius akibat kuman pneumococcus,sejenis bakteria yang boleh membawa maut sekiranya tidak dirawati segera. Setiap individu berumur lebih dua tahun juga dinasihatkan untuk mendapatkan vaksinasi influenza setiap tahun,” katanya.
Pesakit yang sudah menjalani rawatan sebaiknya mengelakkan aktiviti yang menekan paru-paru buat sementara waktu sehingga paru-paru kembali pulih sepenuhnya. Sebagai contoh, menaiki kapal terbang, selam skuba atau bermain alat muzik menggunakan pernafasan.
Source: Utusan Malaysia