Ng Ching See: Dari Jururawat ke Pengarah Kejururawatan

Kerjaya jururawat tidak semudah dijangka. Berbanding doktor, jururawat lebih banyak meluangkan masa bersama pesakit sepanjang tempoh rawatan. Mereka perlu pintar berinteraksi dan sabar melayan kerenah pesakit.

Namun, cabaran itulah yang mendorong Ng Ching See untuk terjun ke dalam bidang yang diimpikan sejak kecil itu. Dia merasakan tugas seorang jururawat terdapat persamaan ciri dengan dirinya yang gemarkan interaksi dengan ramai orang selain bijak berdikari.

Bagaikan bulan jatuh ke riba, anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini ditawarkan tajaan biasiswa penuh daripada Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) iaitu SJMC Nursing Scholarship Programme.

“Biasiswa meringankan beban keluarga. Ia ditawarkan kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 hingga 25 tahun yang mendapat sekurang-kurangnya lima kredit dalam SPM/O-Level. Ia meliputi pelbagai jenis yuran dan faedah utk program kejururawatan dan dijamin peluang pekerjaan dia SJMC,” katanya.

Kejayaan Demi Kejayaan

Sejak memasuki kursus kejururawatan pada 1995, anak sulung daripada empat beradik ini tidak lagi menoleh ke belakang. Dalam fikirannya, dia hanya mahu menikamati impian itu sebaik mungkin.

Hasil kerja keras dan dedikasinya bertahun lamanya, Ching See kini sudahpun bergelar Pengarah Kejururawatan di SJMC. Sudahlah berjaya mencapai impiannya sejak kecil, dapat pula memangku jawatan tertinggi dalam karier itu benar-benar satu penghargaan buat dirinya.

Namun, kejayaan itu tidak datang dengan mudah. Kecekapan dan nilai-nilai murni diamalkan menjadi batu loncatan untuknya berada di tahap sekarang.

“Perjalanan ini menjadi cabaran yang penuh dengan kepuasan dan pembelajaran berterusan, terutama dalam memahami emosi manusia khususnya pesakit. Setiap individu mempunyai persepsi dan jangkaan yang unik sepanjang perjalanan pemulihan mereka. Mengenali setiap pesakit sebagai individu, membolehkan jururawat menjalankan tugas sebaik mungkin dan bukan sekadar mengikut prosedur semata-mata,” katanya.

Tidak Sekadar Menjaga

Sepanjang 26 tahun dalam dunia kejururawatan, katanya, jururawat bukan menjaga pesakit semata mata, sebaliknya memahami keadaan mereka.

“Dulu ada seorang ibu hamil yang mahu melahirkan anak kedua, dimasukkan ke hospital untuk induksi bersalin. Dia pendiam dengan komunikasi minimum. Awalnya, dia dianggap tidak mesra dan tidak bekerjasama. Namun selepas saya mengambil inisiatif berkomunikasi dengannya, sebenarnya dia seorang pesakit kanser dan dia runsing memikirkan keadaan keluarga selepas melahirkan kerana perlu menjalani kemoterapi pula,” katanya.

Ching See mengambil peranan sebagai seorang yang memahami keresahan pesakit tersebut dan memberi nasihat terbaik buat pesakit itu.

“Pesakit berjaya melahirkan dan kekal stabil secara emosi dengan sokongan ahli petugas. Kami mengekalkan hubungan sehingga dia menyelesaikan rawatan kemoterapinya. Pengalaman ini menunjukkan bagaimana kejururawatan melampaui penjagaan asas. Ia terus memberi inspirasi kepada minat saya terhadap profesion ini,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, dia ingin meningkatkan standard kejururawatan dan merancang strategi utnuk pengoptimuman dan pengekalan pasukan kejururawatan yang lebih baik.

Selain itu, dia ingin terlibat lebih dalam mengenai pendidikan kejururawatan untuk membantu membina dan melatih jururawat masa depan.

“Sokongan keluarga terutamanya suami memberikan saya kekuatan. Suami menguruskan kebanyakan urusan anak-anak dan menjalankan perniagaan sendiri yang membolehkan saya memberikan tumpuan kepada kerjaya saya,” katanya.

Source: Utusan Malaysia