Kawal Nafsu Makan Elak Tanggung Bahana
Oleh Ercy Gracella Ajos - Mei 13, 2023 @ 12:41pm
Tidak kawal makan ketika hadir di rumah terbuka beri kesan kepada kesihatan dan meningkatkan risiko penyakit kronik. - Foto hiasan
MESKIPUN sudah melebihi dua minggu sambutan Aidilfitri, di sana di sini masih rancak majlis rumah terbuka yang menghidangkan aneka juadah menyelerakan.
Umum mungkin cakna aneka makanan ini pasti tinggi kolesterol, berlemak, masin dan manis, namun akibat nafsu makan yang tidak terkawal membuatkan mereka 'melantak' tanpa hiraukan bahana bakal ditanggung.
Pengambilan makanan secara tidak terkawal memberi kesan kepada kesihatan, meningkatkan risiko penyakit kronik terutamanya kencing manis, diabetes dan serangan jantung.
Pengurus Perkhidmatan Dietetik Pusat Perubatan Subang Jaya, Nurul Aziah Musa berkata, golongan yang sudah ada penyakit diabetes, kolesterol, tinggi dan hipertensi disaran mengikut panduan makanan sihat yang betul dan mesti mengawal cara pemakanan sepanjang perayaan ini.
Pesakit diabetes digalakkan mengambil makanan tinggi serat dan makanan rendah Indeks glisemik (IG)
Pengurus Perkhidmatan Dietetik Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Nurul Aziah Musa.
Katanya, IG mengukur berapa cepat makanan yang mengandungi karbohidrat (seperti nasi) meningkatkan paras gula dalam darah seseorang selepas makanan itu dimakan dalam tempoh dua jam.
"Makanan yang meningkatkan paras gula dengan perlahan dipanggil makanan rendah IG manakala makanan yang meningkatkan paras gula secara sederhana dipanggil makanan sederhana IG, selain ada yang tinggi IG.
"IG makanan diberi dari skala 1 hingga 100. Apabila nilai IG sesuatu makanan semakin tinggi maka semakin cepat makanan itu menaikkan paras gula dalam darah.
Bagi skala makanan yang rendah IG adalah 55 atau kurang.
Makan makanan rendah IG
Nurul Aziah berkata, pesakit diabetes digalakkan memakan makanan rendah IG seperti oat bran, barli, kobis, brokoli, tomato, kacang hijau termasuk buahan seperti epal dan pear.
Katanya, antara makanan tinggi IG yang sinonim ketika Aidilfitri yang perlu dielak atau dikurangkan pengambilannya seperti ketupat dan lemang, makanan dalam tin serta kuih-muih yang manis.
Bagi makanan yang boleh diambil dan digalakkan seperti nasi jenis beras basmati, nasi perang rendah IG dan kuih-muih berasaskan oat bran.
Amalkan pinggan sihat Malaysia
Nurul Aziah berkata, pesakit diabetes juga boleh mengamalkan Pinggan Sihat Malaysia dengan karbohidrat diambil dalam kuantiti sedikit, protein hanya suku daripada pinggan dan separuh daripada pinggan adalah peruntukan bagi sayuran dan buahan.
"Jika perlu mereka juga perlu hadkan pengambilan gula kepada satu sudu teh," katanya.
Elakkan ambil garam tinggi
Bagi pesakit darah tinggi atau masalah buah pinggang, perlu mengurangkan pengambilan makanan tinggi kandungan garam seperti semua jenis kerepek dan maruku.
Katanya, sepanjang perayaan ini, setiap orang digalakkan minum banyak air kosong berbanding air kordial dan berkarbonat, selain elak makanan yang ditularkan kerana tidak semestinya baik.
"Jika ingin mencuba untuk ikut, perlu lihat dahulu kandungan resipi makanan itu.
Hati-hati jika ada tanda hyperglycemia
Nurul Aziah berkata, acap kali pada musim perayaan ini, individu akan makan banyak secara drastik.
Katanya, antara gejala atau simptom yang boleh dirasai apabila kondisi gula dalam badan tinggi seperti kerap kencing, terasa dahaga, sakit kepala dan penglihatan menjadi kabur.
"Oleh itu, pesakit diabetes disarankan sentiasa pantau gula dalam badan di rumah.
Bagi mengelak risiko ada penyakit kronik, orang ramai disaran untuk pastikan pengambilan makanan mengikut panduan makanan secara sihat.
Berdasarkan panduan diet Malaysia, orang dewasa berumur antara 18 sehingga 59 tahun digalakkan mengikut panduan keperluan kalori musim perayaan yang betul iaitu 1,500 kalori setiap hari bagi perempuan dan 2,000 kalori setiap hari untuk lelaki.
Katanya, umum perlu pastikan penyediaan hidangan sihat pada waktu perayaan ini. Antara boleh diamalkan mengurangkan kuantiti gula, minyak dan lemak dalam penyediaan makanan terutama biskut dan kek.
"Orang ramai turut digalakkan mengolah resipi untuk menggunakan separuh atau tiga daripada empat kuantiti gula biasa diguna untuk membuat biskut dan kek.
"Bagi juadah makanan berat pula, digalakkan menggunakan daging dibuang lemak dan ayam dibuang kulit," katanya.
Bagi penggunaan santan dalam rendang, kuah kari dan sebagainya lebih baik jika santan cair digunakan berbanding santan dalam kotak.
Jangan makan kuah terlalu banyak
Orang ramai juga disarankan tidak mengambil dan makan kuah terlalu banyak selain pastikan hidangan ayam atau daging diambil dalam kuantiti yang sedikit
Bagi biskut raya pula, disarankan menggunakan tepung bijirin, selain memasukkan ramuan makanan yang kandungan serat lebih tinggi seperti oat, buah kismis dan kurma.
Dalam pada itu, orang ramai juga disaran mengelakkan makanan kurang serat kerana boleh mengakibatkan sembelit dan lebih mengutamakan makanan berserat tinggi seperti sayur dan buah-buahan.
Bagi yang sedia ada penyakit seperti diabetes, jika pengambilan makanan tidak terkawal ia akan menjadikan penyakit lebih kronik sehingga mampu menyebabkan strok.
INFO:
Contoh menu :
Laksa Johor
Hidangan: 1 mangkuk
Berat: 250 gram
Kalori: 330
Mee kari
Hidangan: 1 mangkuk
Berat: 410 gram
Kalori: 530
Nasi tomato ayam masak merah
Hidangan: 1 pinggan
Berat: 240 gram
Kalori: 420
Menu gantian lebih sihat
Laksa Penang
Hidangan: 1 mangkuk
Berat: 250 gram
Kalori: 240
Mihun sup
Hidangan: 1 mangkuk
Berat: 250 gram
Kalori: 150
Nasi kerabu (solok lada, ulam, budu)
Hidangan: 1 pinggan
Berat: 260 gram
Kalori: 310
Sumber:
1. Berita Harian (BH) Online
2. Berita Harian (BH)