Gatal, Sakit, Keluar Cecair Punca Jangkitan Kulat Telinga 

Ramai beranggapan, mengorek telinga menggunakan putik kapas atau alat logam adalah amalan kebersihan yang baik.

Namun hakikatnya, tabiat itu antara punca utama jangkitan kulat telinga luar, atau dikenali otomycosis, yang boleh menyebabkan kesakitan, kegatalan dan ketidakselesaan berpanjangan.

Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr Revadi Govindaraju, otomycosis adalah jangkitan kulat yang berlaku pada salur telinga luar, lazimnya disebabkan oleh kulat jenis Aspergillus (yang berwarna hitam) dan Candida (berwarna putih).

Beliau berkata, keadaan lazim berlaku di negara yang beriklim lembap seperti Malaysia dan sering dialami golongan dewasa daripada kanak-kanak.

"Simptom utama otomycosis adalah rasa gatal yang berterusan dalam telinga, diikuti dengan sakit dan keluarnya cecair dari telinga.

"Sesetengah pesakit mungkin mengalami rasa tersumbat, berdengung atau gangguan pendengaran sementara, namun gejala paling ketara adalah kegatalan dan kesakitan.

"Pesakit biasanya akan mendapatkan rawatan apabila simptom menjadi lebih teruk atau berlarutan selama beberapa hari. Ia biasanya selepas pesakit tidak dapat lagi menahan rasa gatal dan sakit," katanya.

Dr Revadi berkata, antara punca biasa jangkitan ini termasuk penggunaan putik kapas dan alat korek telinga secara berlebihan, terutama apabila dilakukan secara dalam dan berulang.

"Bila kita mengorek telinga itu, permukaan kulit salur telinga menipis dan boleh tercedera hingga menjadi pintu masuk kepada jangkitan.

"Dalam kes yang lebih serius, jangkitan boleh merebak ke bahagian tulang berhampiran (osteomielitis) dan memerlukan rawatan lebih intensif," katanya.

Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr Revadi Govindaraju.

Menjelaskan mengenai Osteomielitis (OM) pula, katanya adalah keradangan atau jangkitan yang disebabkan jangkitan bakteria yang akan menyebabkan kesakitan pada sendi sekitar tulang, menghasilkan nanah dan akhirnya 'mematikan' tulang itu.

Dr Revadi berkata, walaupun jarang berlaku, ada kes luar biasa yang menunjukkan jangkitan boleh merebak hingga ke otak.

"Penggunaan ubat titis telinga yang mengandungi antibiotik atau steroid tanpa mengikut nasihat doktor juga menyumbang kepada masalah ini kerana ia boleh mengganggu keseimbangan mikroorganisma dalam telinga dan membunuh bakteria baik, sekali gus memberi ruang kepada kulat untuk membiak," katanya.

Tambah beliau, faktor risiko turut meningkat dalam kalangan individu yang kerap berenang, menggunakan 'earphone' atau fon telinga yang kotor, serta mereka yang mempunyai sistem imun lemah seperti pesakit diabetes, kanser atau yang menjalani rawatan kemoterapi.

Bagi rawatan, Dr Revadi berkata langkah pertama adalah proses pembersihan telinga menggunakan alat khas di bawah mikroskop untuk menyedut keluar kulat, kotoran dan cecair.

"Hal ini kerana jangkitan kulat itu pun hanya boleh dilihat menggunakan alat khas yang ada pada doktor, tidak boleh dilihat secara fizikal.

"Rawatan ini penting kerana ubat titis antikulat tidak akan berkesan jika saluran telinga masih tersumbat.

"Selepas itu, pesakit akan diberi ubat antikulat dalam bentuk titisan atau krim, dan tempoh rawatan bergantung kepada tahap jangkitan, lazimnya mengambil masa antara satu hingga tiga minggu," katanya.

Dalam kes pesakit yang mempunyai masalah imuniti atau jangkitan kronik, rawatan lanjut termasuk ubat oral atau kemasukan ke hospital mungkin diperlukan.

Sebagai langkah pencegahan, Dr Revadi meminta orang ramai menghentikan tabiat mengorek telinga dan tidak menggunakan ubat titis sebelum pemeriksaan dan tanpa nasihat doktor.

Selain itu, pastikan telinga luar dikeringkan dengan tuala selepas berenang dan menjaga kebersihan fon telinga serta elakkan berkongsi alat pendengaran.

Dr Revadi berkata, telinga manusia mempunyai keupayaan semula jadi untuk membersihkan diri melalui proses dikenali sebagai 'epithelial migration', yang menyebabkan ia tidak memerlukan sebarang bentuk pembersihan luaran menggunakan putik kapas ataupun besi.

"Telinga juga perlu dikeringkan dengan betul selepas melakukan aktiviti berenang, terutamanya kepada perenang.

"Sekiranya perenang kerap mendapat jangkitan ini, mereka boleh cuba memakai alat 'ear plug' atau topi renang yang boleh menutup telinga bagi mengelakkan telinga kerap dimasuki air.

"Kebersihan fon telinga juga harus dijaga. Elakkan berkongsi alat pendengaran itu dan lebih digalakkan untuk menggunakan 'headphone' berbanding 'earphone' untuk mengelakkan sentuhan secara langsung apabila memasukkan alat itu ke dalam telinga sendiri," katanya.

Tambahnya, orang ramai juga harus peka terhadap tanda-tanda awal otomycosis dan tidak cuba merawat sendiri dengan sebarang ubat tanpa diagnosis yang tepat.

"Kegatalan dan kesakitan pada telinga bukan sekadar gangguan kecil, tetapi boleh menjadi petanda jangkitan serius yang memerlukan rawatan segera.

"Ramai pesakit hanya datang apabila sakit sudah teruk atau apabila cecair mula keluar dari telinga. Ketika itu, rawatan mungkin memakan masa lebih lama dan komplikasi lebih mudah berlaku.

"Jangan ambil mudah dengan kesihatan telinga, ia organ yang sangat sensitif dan penting untuk keseimbangan serta pendengaran," kata Dr Revadi.

Source: Berita Harian