
Strok sering dikaitkan dengan golongan berusia namun realitinya, penyakit ini tidak lagi mengenal usia.
Dalam bidang neurologi dewasa, pesakit dianggap muda jika berusia antara 18 hingga 45 tahun, ini bermakna sesiapa yang belum mencecah usia pertengahan termasuk dalam kumpulan golongan muda.
Situasi ini menunjukkan, strok bukan lagi penyakit 'orang tua', sebaliknya ancaman yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Dr Yong Fee Mann
Pakar Neurologi (Saraf), Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr Yong Fee Mann, berkata ramai individu muda dikesan mengalami strok kebelakangan ini.
Namun katanya, sukar untuk menentukan sama ada jumlah pesakit muda semakin meningkat atau tahap kesedaran awam yang kini lebih tinggi.
"Ramai yang baru menyedari strok boleh berlaku pada semua peringkat umur termasuk kanak-kanak, remaja dan dewasa muda," katanya kepada BH.
Bagi warga emas, strok boleh berpunca daripada tekanan darah tinggi, kencing manis, kolesterol tinggi serta sejarah keluarga.
Namun bagi pesakit muda, puncanya lebih pelbagai seperti faktor genetik, gangguan metabolisme, penyakit darah dan jantung, termasuk penyakit autoimun.
Dr Yong berkata, ada juga kes strok dalam kalangan muda yang berpunca daripada jangkitan seperti meningitis atau kecederaan fizikal, contohnya kemalangan yang mencederakan saluran darah di leher.
"Kadangkala urutan bahu yang salah juga boleh menyebabkan kecederaan pada arteri karotid dan membawa kepada strok," katanya.
Selain itu, gaya hidup moden yang sedentari atau tidak aktif turut memainkan peranan yang menyumbang kepada peningkatan risiko strok tanpa disedari.
"Ramai anak muda menghabiskan masa lama di hadapan komputer, tidak cukup tidur, makan tidak sihat dan terdedah kepada tekanan kerja yang tinggi," katanya.
Dr Yong menegaskan, tabiat seperti merokok, pengambilan alkohol dan penggunaan dadah turut mempercepatkan kerosakan saluran darah.
"Apabila tekanan darah tidak dikawal, kolesterol tinggi dan gaya hidup tidak sihat, risiko strok meningkat walaupun usia masih muda," katanya.
Tanda awal sering diabaikan
Antara cabaran terbesar, katanya, ialah ramai golongan muda tidak mengenali tanda awal strok.
Mereka menganggap, simptom seperti kebas, pening atau penglihatan kabur sebagai keletihan biasa, sedangkan itu mungkin petanda awal serangan strok.
"Tanda-tanda awal termasuk lemah atau kebas sebelah badan, pertuturan tidak jelas, penglihatan kabur atau hilang sebelah mata, pening teruk, atau tidak mampu berfikir seperti biasa," katanya.
Kadangkala simptom datang sekejap-sekejap, menyebabkan pesakit mengambil ringan dan menangguh rawatan.
Beliau berkata, setiap minit amat berharga bagi pesakit strok, rawatan dalam tempoh 24 jam pertama sangat penting bagi melarutkan bekuan darah dan mengurangkan risiko kecacatan kekal.
"Jika rasa kebas atau lemah sebelah badan yang luar kebiasaan, datang segera ke hospital dan jangan tunggu hingga esok," katanya.
Dr Yong menambah, walaupun strok boleh menyebabkan kesan jangka panjang, peluang pemulihan lebih tinggi bagi pesakit muda.
"Tubuh orang muda masih kuat serta keupayaan penyembuhan semula jadi memberi kelebihan besar dalam proses rehabilitasi, asalkan rawatan diberikan segera dan pesakit berdisiplin," katanya.
Sokongan dan pemulihan
Dalam pada itu, pengurusan pesakit strok tidak berhenti setakat rawatan kecemasan.
Malah, setiap pesakit dibimbing melalui proses pemulihan menyeluruh, bermula dari saat diagnosis hingga mereka kembali ke rumah.
Nancy Magdalene
Pengurus Kes Neurosains, Nancy Magdalene, berkata beliau bertindak sebagai penghubung antara pakar neurologi, jururawat, ahli fisioterapi dan ahli terapi pertuturan supaya setiap intervensi dijalankan tepat pada masanya mengikut keperluan pesakit.
"Pendekatan ini memastikan kesinambungan rawatan yang menyeluruh dan tersusun," katanya.
Selain rawatan klinikal, sokongan kepada keluarga turut menjadi tumpuan kerana ramai pesakit dan penjaga berdepan tekanan besar selepas strok.
Ahli keluarga dan pesakit perlu menyesuaikan diri dengan perubahan mendadak, sama ada kehilangan upaya fizikal, kesukaran bertutur, atau gangguan emosi seperti kemurungan dan kebimbangan.
"Kesan strok bukan sekadar pada tubuh, tetapi juga emosi dan sosial ada pesakit yang hilang punca pendapatan manakala keluarga terpaksa mengambil alih tanggungjawab penjagaan sepenuh masa.
"Dalam situasi ini, bimbingan berterusan daripada pasukan kesihatan amat penting bagi membantu mereka menyesuaikan diri." kata Nancy.
Beliau berkata, pendekatan 'multidisiplin' menjadi tunjang utama kejayaan rawatan. Pasukan perubatan, fisioterapi dan keluarga bekerjasama menilai tahap fungsi pesakit serta menyesuaikan rawatan mengikut keperluan individu.
"Apabila penjaga terbabit secara aktif, mereka lebih yakin dan mampu memberi sokongan yang berkesan," katanya.
Nancy berkata, penjaga memainkan peranan penting memastikan pesakit meneruskan latihan rehabilitasi di rumah.
Pemantauan ubat-ubatan, jadual susulan dan pencegahan komplikasi seperti luka tekanan atau risiko jatuh perlu diberi perhatian bagi mengelakkan strok berulang.
Selain penjagaan fizikal, aspek emosi tidak boleh diabaikan. Memberikan kata-kata semangat, meraikan kemajuan kecil dan mendengar dengan empati dapat meningkatkan motivasi pesakit.
"Setiap langkah kecil adalah kemajuan besar dan kepercayaan keluarga boleh menjadi ubat paling mujarab," katanya.
Tambah beliau, pemulihan strok memerlukan masa dan kesabaran.
Dengan sokongan moral, penjagaan berterusan dan komunikasi baik antara pesakit, penjaga dan pasukan perubatan, peluang untuk pulih sepenuhnya jauh lebih tinggi.
"Pendekatan holistik ini bukan sahaja membantu pesakit kembali berdikari, tetapi juga memperkukuh kesejahteraan keluarga.
"Apabila semua pihak bergerak seiring, proses pemulihan menjadi lebih positif dan bermakna," katanya.
Untuk maklumat lanjut tentang strok atau untuk membuat janji temu, sila layari: https://subangjayamedicalcentre.com/highlights/health-a-z/stroke/diagnosis-treatment
Source: Berita Harian
